BOMBA melakukan pemeriksaan di rumah mangsa. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Latif Ahmad
cnews@nstp.com.my


LELAKI Orang Kurang Upaya (OKU) rentung selepas dipercayai terperangkap dalam rumahnya yang terbakar di Bandar Baharu Samariang, Kuching, hari ini.

Pada kejadian 6.25 petang itu, anggota bomba menemui mayat mangsa, 64, di salah sebuah bilik tidur di rumah berkenaan.

Difahamkan, ketika kejadian, lelaki itu berseorangan kerana anak perempuannya yang berusia 24 tahun berada di tempat kerja.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii ketika dihubungi berkata, kebakaran membabitkan sebuah rumah teres setingkat yang terbakar kira-kira 30 peratus.

“Anggota kemudian menemui mayat mangsa. Kita tidak menolak kemungkinan mangsa terperangkap dalam bilik tidurnya sejurus kebakaran berlaku dan gagal mencari jalan keluar untuk menyelamatkan diri," katanya.

Katanya, empat jentera bomba dengan kekuatan 20 anggota, masing-masing dari Balai Bomba Dan Penyelamat Petra Jaya serta Padungan terbabit dalam operasi berkenaan.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Mayat dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Julai 2018 @ 9:02 PM