ZALEHA menerima sokongan Ahmad Zahid untuk menggerakkan Tabung Kemudahan Guaman Datuk Seri Najib Razak, manakala gambar kanan, gelang disumbangkan Zaleha untuk tabung berkenaan. FOTO Amir Mamat.
Amir Mamat
cnews@nstp.com.my


TINDAKAN Ketua Wanita UMNO Bahagian Jasin, Datuk Zaleha Bujang mendermakan seutas gelang emas untuk mengisi Tabung Kemudahan Guaman Datuk Seri Najib Razak, bukanlah untuk menunjuk atau riak.

Sebaliknya, Ahli Jawatankuasa Wanita UMNO Melaka itu berkata, ia tidak lebih kepada tanda simpati serta sokongan kepada bekas Presiden UMNO dan bekas Perdana Menteri itu.

“Bukan niat saya untuk menunjuk, saya buat begitu supaya ada akan mengikutinya untuk kita membantu seorang pemimpin yang kita segani dan hormati.

“Orang kata, kalau kita nak tolong orang, berikanlah apa yang kita sayang dan ia sebenarnya mengingatkan saya kepada nostalgia ketika zaman Tunku Abdul Rahman Putra untuk ke London (menuntut kemerdekaan), ada yang sanggup gadaikan barang kemas demi kemerdekaan negara,” katanya ketika dihubungi, malam ini.

Video mengenai sumbangan gelang emas itu menjadi tular di media sosial selepas dimuat naik beberapa rakan Zaleha.

Video berdurasi 1.23 minit itu menunjukkan Zaleha menanggalkan gelang emas yang dipakai sebelum meletakkan di atas piring dan diserahkan kepada seseorang, dipercayai ahli jawatankuasanya untuk mengisi tabung berkenaan.

Tindakan Zaleha itu turut menyentuh hati bekas Perdana Menteri itu yang memuatkan naik statusnya di akaun Twitter rasmi beliau.

Zaleha mengakui, gelang terbabit adalah antara barang kemas kesayangannya yang dibeli selepas menamatkan perkhidmatan di Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, sejak lima tahun lalu.

“Biarpun ada memuji dan tak kurang yang mengata, namun saya lakukan ini kerana pernah berkhidmat untuk parti ketika UMNO dipimpin (Datuk Seri) Najib,” katanya.

Sementara itu, Zaleha berkata, gelang terbabit dibeli seorang individu dengan harga RM3,500.

Susulan itu, Wanita UMNO Bahagian Jasin menggerakkan tabung berkenaan di sekitar Parlimen Jasin.

Katanya, aktiviti berkenaan disokong Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada pertemuan ringkas di Umbai, Serkam, hari ini.

“Sehingga lewat petang tadi, tabung berkenaan berjaya mengumpul kira-kira RM10,000 termasuk seutas lagi gelang emas disumbangkan ahli Wanita UMNO bahagian.

“Semua sumbangan itu akan diserahkan kepada EXCO Wanita UMNO, Datuk Latipah Omar, malam ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Julai 2018 @ 10:41 PM