KEBAKARAN di hutan simpan berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
Noor Hidayah Tanzizi
cnews@nstp.com.my


PASUKAN Bomba dan Penyelamat Pantai Remis terpaksa mengambil masa 12 jam bagi memadam kebakaran hutan seluas kira-kira empat hektar di Hutan Simpan Segari Melintang, Bukit Tanjung Batu di Pantai Remis, hari ini.

Kebakaran berlaku sejak jam 8 malam semalam membabitkan kawasan berbukit pada ketinggian kira-kira 200 meter dan merebak ke kawasan jeram bukit berikutan angin kencang yang menyebabkan kebakaran sukar dikawal.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis, Alwi Ismail berkata, sebaik menerima maklumat, sepasukan bomba ke lokasi kejadian dan mendapati api sudah merebak di kawasan hutan berkenaan.

“Operasi pemadaman dijalankan lapan anggota sebelum ditamatkan jam 2 pagi dan kemudian disambung semula jam 9.30 pagi tadi dengan kekuatan 10 anggota.

“Difahamkan, kebakaran itu sudah berlaku dua hari lalu seperti yang dimaklumkan penduduk kampung berhampiran, namun pihak bomba hanya dimaklumkan semalam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, punca kebakaran masih dalam siasatan.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak ia berpunca daripada puntung rokok.

"Api berjaya dikawal sepenuhnya selepas 12 jam dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 12.45 tengah hari hari ini. Pemantauan masih dijalankan bagi mengelak kejadian berulang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Julai 2018 @ 8:23 PM