Shahrinnahar Latib
cnews@nstp.com.my


HASRAT peniaga dalam talian mengembangkan perniagaannya tidak kesampaian apabila kerugian RM12,600 selepas diperdaya wanita yang menawarkan bantuan dana perniagaan, e-kasih kononnya daripada Kerajaan Selangor.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian berlaku pada 21 Jun lalu apabila mangsa wanita berusia 36 tahun menerima mesej menerusi Whatsapp daripada suspek yang mengaku sebagai rakan mangsa bernama Idayu.

"Idayu menawarkan bantuan dana perniagaan e-kasih daripada kerajaan Selangor dan mangsa berminat untuk mendapatkan dana berjumlah RM66,000.

“Mangsa memasukkan wang berjumlah RM12,600 ke dalam dua akaun berbeza diberikan suspek sebagai yuran proses, bagaimanapun selepas itu Idayu gagal dihubungi,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang tidak berpuas hati kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, kelmarin dan polis sudah merakam percakapan mangsa untuk siasatan lanjut.

Dalam kes berasingan, Mohd Wazir berkata, seorang jururawat berusia 42 tahun kerugian RM18,000 selepas diperdaya sindiket Love Scam yang menawarkan pemberian hadiah mewah.

“Kejadian berlaku pada Mei lalu apabila mangsa menerima mesej di Facebook Messenger daripada lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Mohd Zikri yang mahu berkenalan dan memberi hadiah.

“Suspek memberitahu hadiah berkenaan mahu dihantar kepada mangsa dari United Kingdom (UK) kerana dia sekarang bekerja di sana.

“Pada 18 Jun lalu mangsa menerima panggilan dari wanita yang memperkenalkan diri sebagai Maria daripada ejen kurier," katanya,

Beliau berkata, Maria memberitahu hadiah berkenaan sudah sampai di kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan mangsa perlu bayar sebanyak RM18,000 untuk pelepasan kastam.

“Jika tidak dibayar mangsa akan dikenakan tindakan undang-undang, dia kemudian membuat dua kali pembayaran menjadi jumlah keseluruhan sebanyak RM18,000 sebelum berapa ditipu dan membuat laporan di IPD Kuantan.

“Kedua-dua kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Julai 2018 @ 9:42 AM