GAMBAR fail menunjukkan cawangan Tealive. FOTO Arkib NSTP

PEMILIK minuman Tealive, Loob Holding Sdn Bhd, sudah mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan dikeluarkan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang memihak kepada pemilik jenama Chatime, La Kaffa International Co Ltd.

Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan perintah injunksi oleh La Kaffa, sekali gus melarang Loob daripada mengendalikan Tealive sebagai perniagaan yang bersaing dengan Chatime untuk tempoh dua tahun di Malaysia.

Permohonan Loob sebelum ini ditolak Mahkamah Rayuan atas alasan syarikat itu melanggar kontrak dan tuntutan undang-undang terhadap La Kaffa, berkaitan dengan halangan dagangan serta undang-undang francais Malaysia.

“Susulan itu, kami mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan menolak permohonan kami untuk penggantungan pelaksanaan perintah injunksi atas alasan kami melanggar kontrak dan tuntutan undang-undang terhadap La Kaffa berkaitan dengan halangan dagangan serta undang-undang francais Malaysia.

“Peguam syarikat sudah diarah untuk membuat rayuan itu kepada Mahkamah Persekutuan dan ia sudah difailkan pagi tadi (semalam),” katanya dalam kenyataan dikeluarkan semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Julai 2018 @ 12:40 AM