Zatul Iffah Zolkiply
cnews@nstp.com.my


TERTEKAN selepas diceraikan suami selain terbabit dalam penyalahgunaan dadah, seorang wanita hilang pertimbangan apabila tergamak mengugut mahu membunuh ibunya menggunakan pisau dalam kejadian di Manir, Kuala Terengganu, Selasa lalu.

Dalam kejadian 5 petang itru, suspek berusia 26 tahun yang bagaikan dirasuk hantu turut merosakkan peralatan di dalam rumah.

Menurut sumber, suspek yang tiba-tiba mengamuk memecahkan pintu rumah, telefon bimbit miliknya dan barang kelengkapan rumah tanpa menghiraukan teguran ahli keluarga termasuk ibunya berusia 49 tahun.

Katanya, suspek yang tidak berpuas hati selepas ditegur turut mengugut mahu membunuh mangsa menggunakan pisau.

“Difahamkan, suspek berdepan gangguan emosi kerana tertekan selepas diceraikan suaminya sejak tiga tahun lalu dan dikatakan sering mengamuk tanpa sebab.

“Malah, suspek pernah beberapa kali dirujuk ke hospital kerana dibimbangi mengalami masalah kesihatan, namun doktor mengesahkan suspek tidak mempunyai masalah mental sebaliknya memaklumkan suspek terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

“Selain itu, suspek pernah menerima rawatan pemulihan di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) selama 11 bulan dan keluar pada November tahun lalu,” katanya.

Sumber berkata, suspek yang ketagihan dadah kerap meminta wang daripada mangsa untuk membeli rokok dan akan mengamuk serta mengugut mahu membunuh ibu malang itu sekiranya gagal atau lambat menyerahkan wang diminta.

Katanya, mangsa yang bimbang keselamatan diri dan ahli keluarga lain selain tidak tahan melayan karenah suspek mengambil keputusan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Julai 2018 @ 7:25 PM