LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@nstp.com.my


POLIS Johor akan memulakan proses siasatan terhadap lelaki yang disyaki dalang utama kes pembunuhan di stesen minyak Taman Pelangi, akhir tahun lalu sebaik tiba dari Thailand ke negeri ini, hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, suspek lelaki berusia 36 tahun itu sudah melalui proses ekstradisi dan akan dibawa pulang ke Malaysia bersama teman wanitanya.

“Mengenai seorang daripada yang kita berjaya tangkap di Thailand, jika tidak ada sebarang aral, petang ini dia sampai.

“Kita sudah berjaya ambil dia (ekstradisi) dan dia dalam perjalanan dibawa balik ke Malaysia dan petang ini dijangka sampai ke Johor.

“Kemudian mulai esok dan seterusnya, kita akan melakukan proses siasatan untuk membawanya ke mahkamah,” katanya ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru, hari ini.

Lelaki dari daerah ini dipercayai mendalangi kes pembunuhan itu pada Disember lalu sebelum melarikan diri ke negara jiran.

Dia ditahan pada 29 Mei lalu bersama teman wanitanya di wilayah Chaiyaphum, Thailand, 260 kilometer di timur laut Bangkok dan ditempatkan di Pusat Tahanan Imigresen (IDC) sementara menunggu selesai proses ekstradisi.

Pada masa sama, Mohd Khalil berkata, pihaknya sudah menahan 40 ahli kumpulan jenayah terancang dikenali Jin Jee Tong yang ditangkap susulan kes pembunuhan itu.

Katanya, Ahad lalu, dua lagi lelaki berusia 54 dan 58 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012.

“Berkaitan perkembangan penangkapan ahli kumpulan Jin Jee Tong yang dipercayai ada kaitan dengan kes pembunuhan itu, dua lagi ahli kumpulan sudah dituduh di mahkamah dan sehingga kini kita sudah menahan 40 orang.

“Kita percaya ada saki-baki lagi ahli kumpulan ini, tetapi saya tidak dapat pastikan berapa orang lagi,” katanya.

Lelaki bernama ‘Ah Chiu’ maut ditikam dan digilis dengan sebuah kereta BMW putih di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi di sini dan klip video pembunuhan ngeri itu tersebar di media sosial.

Berita berkaitan

Suspek tikam, gilis direman seminggu [METROTV]

Perang kongsi gelap: 2 ditahan

[UPDATE] Angkara dendam kongsi gelap

[UPDATE] Buru dan tahan suspek secepat mungkin

Ditikam, dilanggar, digilis sampai mati [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Julai 2018 @ 7:01 PM