KERETA dipercayai membawa Riza tiba di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, hari ini. FOTO Abd Rahim Rahmat
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@nstp.com.my


BELUM lagi selesai memberi keterangan untuk hari ini, Riza Aziz, 48, dikatakan akan dipanggil semula ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, esok pagi bagi menyambung keterangan berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sumber berkata, anak tiri kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu dikehendaki hadir buat kali keempat ke SPRM untuk proses sama.

Difahamkan, Riza yang dipanggil untuk kali ketiga hari ini dijangka selesai memberikan keterangan kepada SPRM, pada 9 malam ini.

Terdahulu, Riza tiba di Ibu Pejabat SPRM, jam 11.10 pagi dengan menaiki kereta Audi berwarna hitam ditemani peguamnya, Datuk K Kumaraendran.

SPRM sejak Selasa dan Rabu lalu merekodkan keterangan lelaki itu yang masing-masing mengambil masa sembilan dan enam jam.

Sebelum ini, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mendakwa sejumlah AS$64 juta diselewengkan daripada 1MDB, dipindah kepada Red Granite untuk membiayai penerbitan beberapa filem Hollywood termasuk The Wolf Of Wall Street yang dibintangi Leonardo DiCaprio.

Riza juga dituduh menggunakan wang itu untuk membeli hartanah mewah daripada ahli perniagaan Low Taek Jhow atau Jho Low.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Julai 2018 @ 6:39 PM