TERTUDUH didakwa atas dua pertuduhan merogol anak tirinya di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini. FOTO Zaman Huri Isa
Muhamaad Razis Ismail
razis@nstp.com.my


BURUH warga Indonesia dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini terhadap dua tuduhan merogol anak tirinya.

Tertuduh, 31, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, lelaki berkenaan didakwa merogol anak tirinya yang ketika itu berusia 11 tahun di sebuah rumah di Guchil Lama, Kuala Krai antara jam 7 malam hingga 8 malam, pada Januari 2015.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa merogol mangsa sama yang ketika itu berusia 12 tahun di lokasi sama pada jam 4 petang, April 2016.

Kedua-dua kesalahan didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun dan minimum 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norazlinawati Mohd Arshad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Norazlinawati tidak mencadangkan jaminan dan memohon sebutan semula untuk pengurusan kes.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 13 Ogos depan untuk sebutan semula.

Dalam pada itu, isteri tertuduh yang juga warga Malaysia turut dilihat hadir di mahkamah hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Julai 2018 @ 3:42 PM