Rosli Ilham
cnews@nstp.com.my


PEMANDU lori muatan tangki air maut selepas digilis lorinya sendiri di tapak pengumpulan tanah di Kampung Santong, Dungun, hari ini.

Dalam kejadian 2.10 petang itu, Yuslan Yusof, 38, parah di bahagian dada dan kedua pahanya, disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Paka, pada 2.30 petang.

Difahamkan, sebelum itu mangsa menyambung tugasnya untuk menyiram debu tanah di tapak itu.

Dia dikatakan memberhentikan lorinya di kawasan berbukit untuk berbual dengan seorang rakan, sebelum lori itu bergerak tiba-tiba dan menuruni bukit.

Mangsa dipercayai mengejar kenderaan itu dan sempat membuka pintu bahagian pemandu sebelum cuba berpaut pada stereng lori itu.

Bagaimanapun, dia terjatuh sebelum digilis tayar belakang hingga parah.

Rakannya, Abd Aziz Hussin, 54, yang menyaksikan kejadian itu mengangkat Yuslan dan segera menghantarnya ke Klinik Kesihatan Paka untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, jenazah mangsa kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Julai 2018 @ 8:08 PM
LORI yang menggilis mangsa. FOTO Rosli Ilham