Sharifah Mahsinah Abdullah
sharifah@nstp.com.my


PERKAHWINAN peraih getah dengan budak perempuan berusia 11 tahun tular sehingga mendorong pihak berkuasa agama Thailand melakukan siasatan.

Sumber pihak berkuasa Thailand berkata, siasatan mula dibuat terhadap kes itu selepas pihaknya mengetahui kanak-kanak terbabit juga warganegara mereka.

Katanya, siasatan merangkumi semua aspek termasuk dakwaan sama ada pasangan itu bernikah di masjid di Selatan Thailand.

“Kes ini telah tular di media sosial dan mencetuskan kontroversi di Thailand juga. Ia memeranjatkan rakyat Thailand dan mencipta sejarah apabila seorang warga asing mengahwini remaja tempatan yang masih muda.

“Belum pernah terjadi di Thailand dalam tempoh 20 tahun ini dan ia adalah satu kesalahan mengahwini budak bawah umur di Thailand,” katanya ketika dihubungi di Kota Bhari, hari ini.

Sumber berkata, pihak berkuasa Thailand terutama jabatan agama menjangkakan akan memanggil budak itu secepat mungkin.

Kes pasangan itu gempar apabila peraih getah terbabit yang berusia 41 tahun dan sudah beristeri dua mengahwini kanak-kanak perempuan yang baru berusia 11 tahun.

Pasangan itu didakwa berkahwin di masjid di Kampung Padang Nyor berdekatan Sungai Golok, Thailand, pada 18 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Julai 2018 @ 3:33 PM