IBU kepada lima anak (tepi kiri) antara yang ditahan positif dadah dalam operasi oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Lintas Sibuga, Sandakan. FOTO Ihsan AADK
Hazsyah Abdul Rahman
cnews@nstp.com.my


IBU lima anak antara ditahan dalam operasi Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Jalan Lintas Sibuga, Sandakan, kelmarin.

Suspek berusia 29 tahun itu ditahan selepas pemeriksaan air kencingnya dipercayai positif dadah.

Ketua AADK Sandakan, Aisyah Abdul Karim berkata, suspek mempunyai lima anak, manakala suaminya yang berumur 30-an sedang menjalani pemulihan di Papar selepas ditahan berkaitan kesalahan sama, April lalu.

"Pada April lalu, hanya suami suspek didapati positif dadah, manakala wanita itu negatif ketika pemeriksaan. Bagaimanapun, kali ini wanita terbabit tidak terlepas,." katanya ketika dihubungi NSTP.

Sementara itu, Aisyah berkata, dalam serbuan di tiga lokasi lain, tiga lelaki berusia 19 hingga 40 tahun ditahan, juga berkaitan dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagihan Dadah 1983.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Julai 2018 @ 11:51 AM