RIZA ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, hari ini. FOTO Mohd Fadhli Hamzah
Mohd Husni Mohd Noor dan Suhaila Shahrul Annuar dan Teoh Pei Ying
cnews@nstp.com.my


ANAK tiri kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak iaitu Riza Aziz, 48, akan hadir semula ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, esok bagi menyambung memberi keterangan berhubung skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Terdahulu, Riza tiba di Ibu Pejabat SPRM, jam 1.30 tengah hari ditemani peguamnya, Datuk K Kumaraendran.

Dia kemudian meninggalkan bangunan itu, jam 10.30 malam, selepas lebih lapan jam memberikan keterangan.

Difahamkan, Riza dikehendaki hadir semula ke SPRM jam 2 petang esok.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull ketika dihubungi BERNAMA hari ini memaklumkan Riza hanya diambil keterangan dan tiada keperluan untuk menahannya.

Riza yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Red Granite Pictures iaitu syarikat penerbitan filem Hollywood yang didakwa terbabit dalam skandal 1MDB.

Sebelum ini, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mendakwa sejumlah AS$64 juta diselewengkan daripada 1MDB dipindah kepada Red Granite untuk membiayai penerbitan beberapa filem Hollywood termasuk The Wolf Of Wall Street yang dibintangi Leonardo DiCaprio.

Riza juga dituduh menggunakan wang itu untuk membeli hartanah mewah daripada ahli perniagaan Low Taek Jhow atau Jho Low.

SPRM sejak akhir Mei lalu mula memanggil beberapa individu bagi melengkapkan siasatan berkaitan syarikat pelaburan strategik kerajaan itu termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Najib masing-masing pada 22 dan 24 Mei lalu hadir di Ibu Pejabat SPRM untuk memberi keterangan berhubung isu berkenaan.

Malah, pada 5 Jun lalu, isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor turut hadir ke SPRM untuk memberi keterangan.

Berita berkaitan

Anak tiri Najib belum ditahan - SPRM

Riza Aziz hadir ke SPRM beri keterangan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Julai 2018 @ 10:42 PM