PERLUMBAAN Le Tour de Langkawi. FOTO arkib NSTP
Hafiz Ithnin
hafizithnin@hmetro.com.my


PERSATUAN Penggiat Festival Antarabangsa (ALIFE) berharap pelantikan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (Motac), Datuk Mohammadin Ketapi dapat menyokong kegiatan acara membabitkan kesenian utama, hiburan dan sukan tempatan.

Antara 2012 dan 2017 sekurang-kurangnya 200 acara utama diadakan di Malaysia yang mampu mencipta RM3.13 bilion perolehan bagi ekonomi domestik daripada perbelanjaan pelancong.

Presidennya, Para Rajagopal berkata, daripada jumlah itu, 30 peratus disumbangkan industri perhotelan tempatan, 30 peratus peruncitan, 25 peratus hiburan dan 15 peratus daripada lain-lain industri seperti pengangkutan dan operator pelancongan.

“ALIFE berharap pihak kementerian dapat mengenali peranan seni, hiburan dan acara sukan utama dalam mewujudkan aliran pendapatan dalam sektor pelancongan dan meneruskan untuk meningkatkan industri acara di negara ini.

“Meskipun kami terus mempromosikan destinasi dan pelancongan seni budaya, acara sukan antarabangsa dan seni kontemporari turut memainkan peranan penting bagi menarik pelancong antarabangsa ke Malaysia yang menggalakkan perbelanjaan pelancongan dan mencipta peluang pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Para berkata, sebagai contoh, Langkawi mendapat banyak manfaat daripada acara sukan utama seperti Ironman, FIVB World Tour Volleyball Tour, Tour de Langkawi dan Oceanman. “Antara 2014 dan 2016, acara utama mencatatkan pendapatan hampir RM150 juta di Kedah yang mana hampir 80 peratus daripada hasilnya adalah daripada aktiviti acara antarabangsa.

“Apabila Langkawi menjadi tuan rumah Kejohanan Dunia IFMA Muay Thai 2014, kira-kira 10,000 orang menghadirinya dan lebih 50 peratus adalah pengunjung asing. Acara ini juga menjana RM36 juta perbelanjaan pelancongan dan mencipta lebih daripada 900 pekerjaan sementara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Julai 2018 @ 10:07 PM