RAFIZI Ramli. FOTO arkib NSTP
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@nstp.com.my


WALAUPUN cukup lantang mengkritik Datuk Seri Najib Razak berhubung skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Rafizi Ramli tetap berharap bekas Perdana Menteri itu diberikan layanan baik sepanjang dalam tahanan pihak berkuasa.

Beliau yang melahirkan rasa simpati terhadap Najib menerusi catatan di Twitter rasminya, hari ini berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga perlu menjaga maruah Ahli Parlimen Pekan itu sesuai dengan statusnya sebagai bekas Perdana Menteri.

"Saya antara orang yang banyak kritik beliau (Najib). Tetapi saya berdoa beliau dilayan baik sebagai seorang bekas Perdana Menteri, dijaga maruah dan air muka. Saya berdoa beliau dan keluarga diberi keadilan sebaik-baiknya. Itulah perjuangan reformasi," katanya.

Kenyataan itu mendapat pelbagai reaksi netizen dan turut dikongsikan oleh bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar di Twitternya.

Media melaporkan Najib ditahan oleh Pasukan Petugas Khas 1MDB, di kediamannya di Jalan Langgak Duta, hari ini dan dibawa ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Pasukan itu dalam satu kenyataan mengesahkan Najib akan dihadapkan ke mahkamah esok.

Difahamkan tangkapan ke atas Najib adalah berdasarkan siasatan yang dilakukan oleh pasukan siasatan dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia berkaitan SRC International Sdn Bhd.

Berita berkaitan

Najib mungkin hadapi 10 pertuduhan

Najib bermalam di lokap SPRM

Najib tiba di SPRM Putrajaya

Najib didakwa esok

Najib Razak ditahan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Julai 2018 @ 6:59 PM