Shamsul Kamal Amarudin dan Zahratulhayat Mat Arif
cnews@nstp.com.my


AHLI Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak bagi Mesyuarat DUN ke-14, hari ini.

Koo Ham, 57, dipilih pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama sidang itu bagi pemilihan Speaker dan angkat sumpah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Nama wakil rakyat DAP itu dicadangkan oleh ADUN Tebing Tinggi Abdul Aziz Bari dan disokong ADUN Pasir Panjang Yahaya Mat Nor.

Koo Ham yang juga Penasihat DAP Perak dipilih melalui pengundian mengatasi dua calon lain iaitu bekas Timbalan Speaker DUN Datuk Nasaruddin Hashim dan Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri Misbahul Munir Masduki.

Koo Ham memperolehi 31 undi mengatasi Nasaruddin yang mendapat 25 undi, manakala Misbahul Munir (tiga undi).

Sementara itu, ADUN Behrang Aminuddin Zulkipli dilantik sebagai Timbalan Speaker DUN Perak.

Aminuddin daripada Parti Amanah Negara (AMANAH) adalah calon tunggal bagi jawatan berkenaan apabila tarikh pencalonan ditutup pada 26 Jun lalu.

Selepas itu, semua 59 ADUN mengangkat sumpah jawatan didahului Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu, diikuti ADUN lain secara berkumpulan tiga orang bagi setiap sesi.

Terdahulu, persidangan berkenaan kecoh kira-kira 30 minit selepas Setiausaha DUN Kamarulariffin Ayub, mengumumkan terdapat tiga nama dicalonkan sebagai Speaker DUN Perak.

Pembangkang mempersoalkan pengumuman itu dengan Datuk Saarani Mohamad (BN-Kota Tampan) mendakwa ada empat nama yang dicalonkan.

Penyokong kerajaan membantah dakwaan itu mengakibatkan berlaku pertikaman lidah antara ADUN kerajaan dan pembangkang, sebelum kekecohan berakhir selepas Kamarulariffin mengumumkan pengundian dilakukan dan kertas undi akan dikutip.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Julai 2018 @ 12:01 PM
KOO Ham mengangkat sumpah sebagai Speaker DUN Perak, hari ini. FOTO Abdullah Yusof