RAMLI menunjukkan penutup tong ikan yang digunakan untuk berenang selepas terjun ke laut. FOTO Rosli Ilhan
Rosli Ilham
cnew@nstp.com.my


“HANYA zikir menjadi pengubat ketakutan saya selama lima jam berenang di tengah laut," kata Ramli Said, 62, selepas bot gentian kaca miliknya karam di tengah laut, kira-kira 13 Kilometer dari Kuala Dungun, kelmarin.

Menurut nelayan itu, dia hanya berpaut pada penutup tong ikan bagi menyelamatkan diri.

Menceritakan detik cemas itu, Ramli yang berasal dari Kampung Sungai Buaya berkata, dia keluar bersendirian ke laut pada 6.10 pagi.

"Sepanjang perjalanan bot saya dilambung ombak besar dan sejam selepas itu, saya sedari bot bocor serta dimasuki air.

"Semakin saya menimba air, semakin banyak air masuk sebelum saya nekad terjun dan berenang dengan memeluk penutup tong sebagai pelampung," katanya ketika ditemui di jeti Kampung Sungai Buaya, di Dungun, hari ini.

Menurut Ramli, biasanya dia berselisih dengan bot nelayan yang lain

Namun katanya, pada hari kejadian, dia tidak nampak bot lain.

"Timbul juga perasaan takut dan apa yang saya fikirkan ketika itu hanyalah cara untuk menyelamatkan diri.

"Saya sangat letih ketika itu kerana melawan arus tetapi kemudian mengambil keputusan berenang ke daratan menuju ke arah Rantau Abang kerana kawasan itu paling hampir dengan perkampungan nelayan," katanya.

Menurutnya, dia akhirnya terpandang seorang pemancing dan dia melambaikan penutup tong ikan sambil menjerit meminta tolong.

"Alhamdulillah, pemancing itu ternampak kelibat saya dan segera memecut botnya seterusnya menyelamatkan saya serta menghantar ke jeti Sungai Buaya.

"Sampai sahaja di jeti iaitu hampir jam 1 tengah hari, saya terus rebah kerana lutut terasa lembik dan tidak dapat berdiri," katanya.

Nelayan itu berkata, berikutan kejadian itu, dia mengalami kerugian RM15,000 selepas bot dan enjin bot gagal diselamatkan.

"Sepanjang 40 tahun menjadi nelayan, inilah kejadian pertama yang menakutkan saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Julai 2018 @ 6:54 PM