Mohd Husni Mohd Noor dan Hidir Reduan dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor
cnews@nstp.com.my


SELEPAS tiga jam, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi belum selesai memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dua kes yang disiasat badan pencegah rasuah itu.

Difahamkan, tempoh diambil keterangan mungkin akan berlanjutan sehingga 7 petang ini memandangkan Ahmad Zahid perlu memberi keterangan berhubung dua kes.

Dua kes yang disiasat itu membabitkan dana RM2.6 bilion dimasukkan ke dalam akaun peribadi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan penyelewengan dana yayasan diterajui Ahmad Zahid bernilai lebih RM800,000.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk tiba di Ibu Pejabat SPRM kira-kira 9.50 pagi bagi memberi keterangan berhubung siasatan dua berkenaan.

Beliau yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri dihubungi SPRM pada 27 Jun lalu untuk hadir bagi memberi keterangan mengikut Akta SPRM 2009.

Sementara itu, kira-kira 12 tengah hari tadi, Presiden Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (Pekira) Datuk Mohd Ridzuan Abdullah dilihat keluar dari lobi bangunan SPRM.

Beliau yang ditemui wartawan berkata, kehadirannya di SPRM adalah untuk memberi keterangan dan berbincang mengenai beberapa isu semasa termasuk kes rasuah dan isu pekerja asing.

Mohd Ridzuan yang juga Presiden Pertubuhan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) berkata, beliau yakin kepimpinan baru SPRM dapat menyelesaikan beberapa isu rasuah dan penyelewengan kuasa yang berlaku sebelum ini.

"Saya akan beri kerjasama sepenuhnya untuk membantu siasatan termasuk menyalurkan bukti kukuh kepada mereka (SPRM)," katanya.

Dalam pada itu, katanya, isu pekerja asing adalah isu utama yang akan difokuskannya memandangkan Menteri Dalam Negeri terdahulu sudah menjejaskan imej kementerian itu.

Menurutnya, beliau juga mahu kerajaan menyiasat tiga ‘vendor’ yang dilantik bagi menguruskan Program Penggajian dan Penempatan Semula PATI (Program Rehiring) iaitu MyE.G. Services Bhd (MyEG), Bukit Megah Sdn Bhd dan Iman Resources Sdn Bhd samada mereka dilantik secara kontrak atau runding terus.

"Jangan sekadar tamatkan kontrak mereka sebaliknya siasat mereka. Kita tahu siapa terbabit di dalamnya, mereka orang politik juga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Julai 2018 @ 2:19 PM