DUA bot vesel asing ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di kedudukan kira-kira 30 batu nautika Timur Kuala Tanjung Sedili, kelmarin. FOTO Ihsan Mohd Azren Jamaluddin
Mohd Fahmi Mohd Yusof
mohdfahmi@nstp.com.my


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan dua bot nelayan asing yang menggunakan nombor pendaftaran mirip bot tempatan bersama rampasan dianggarkan bernilai RM8 juta, kelmarin.

Pemangku Ketua Zon Maritim Tanjung Sedili Komander Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, dua bot vesel seakan bot nelayan tempatan itu ditahan di kedudukan kira-kira 30 batu nautika Timur Kuala Tanjung Sedili.

Katanya, bot berkenaan ditahan antara jam 3.40 dan 4.20 petang ketika sedang menangkap ikan menggunakan pukat tunda.

“Turut ditahan 46 anak kapal termasuk dua tekong berusia antara 17 hingga 51 tahun yang kesemuanya adalah warga Vietnam berdasarkan pasport dan kad pengenalan negara itu.

“Jumlah keseluruhan rampasan kedua-dua bot termasuk hasil tangkapan laut, minyak diesel dan peralatan menangkap ikan dianggarkan bernilai RM8 juta,” katanya pada sidang media di Kota Tinggi, hari ini.

Mohd Zulfadli berkata, ketika pemeriksaan kedua-dua tekong bot berkenaan turut gagal mengemukakan sebarang dokumen.

“Hasil pemeriksaan, Maritim Malaysia menemui satu dokumen pendaftaran bot nelayan tempatan dan satu dokumen pendaftaran vesel Vietnam pada sebuah daripada dua bot berkenaan.

“Kedua-dua bot dibawa ke Jeti Zon Maritim Tanjung Sedili dan kes disiasat mengikut Seksyen 14, 15 dan 16 Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh serta menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran,” katanya.

Katanya, jika disabitkan kesalahan, setiap tekong boleh didenda RM1 juta, manakala anak kapal boleh didenda RM100,000 setiap seorang atau penjara sehingga dua tahun dan dilucutkan hak ke atas vesel berkenaan.

“Maritim Malaysia juga sudah mendapatkan perintah tahanan reman selama 14 hari bermula hari ini ke atas semua 46 anak kapal dan tekong,” katanya.

Katanya, penahanan itu adalah yang keenam dan antara terbesar dilakukan Maritim Malaysia di Zon Maritim Tanjung Sedili pada tahun ini membabitkan bot nelayan asing.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Julai 2018 @ 3:01 PM