PEMANDU treler tersepit selepas kenderaan dipandunya melanggar lori membawa muatan batu bata di Kilometer 38.5 Lebuhraya Utara Selatan (arah Selatan) dekat Kulai, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@nstp.com.my


PEMANDU treler maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 38.5 Lebuhraya Utara Selatan (arah Selatan) dekat Kulai, hari ini.

Dalam kemalangan 6.40 pagi itu, Azlan Shamsuddin, 46, maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar berkata, kemalangan membabitkan treler dengan lori dan motosikal.

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu treler gagal mengawal kenderaannya sehingga berlanggar dengan lori yang membawa muatan batu-bata itu.

“Pemandu treler itu memandu seorang diri di lorong kiri jalan ke arah selatan dan tiba-tiba gagal mengawal kenderaan dipandunya lalu melanggar belakang sebuah lori yang bergerak di lorong sama.

“Pelanggaran itu menyebabkan muatan batu-bata dari lori itu jatuh atas jalan raya dan pada masa sama terkena penunggang motosikal yang berada di lorong sama,” katanya.

Beliau berkata, kemalangan menyebabkan pemandu treler meninggal dunia di tempat kejadian kerana tersepit manakala pemandu lori berusia 54 tahun tidak cedera dan penunggang motosikal berusia 29 tahun cedera ringan.

Katanya, mangsa yang maut dibawa ke Unit Forensik Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI) di Kulai untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Jun 2018 @ 1:47 PM