GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@nstp.com.my


KRU penerbangan warganegara Malaysia ditahan atas dakwaan menyeludup heroin bernilai AS$1.4 juta (RM5.6 juta) ke Australia.

Kru terbabit ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Melbourne selepas didakwa menyeludup 3.5 kilogram (kg) heroin dalam penerbangan komersial.

Memetik Herald Sun dalam laporan eksklusifnya, lelaki berusia 33 tahun itu adalah pekerja syarikat penerbangan Malaysia Airlines.

Pegawai Pasukan Penguatkuasaan Sempadan Australia melihat lelaki itu berkelakuan mencurigakan selepas tiba dari Kuala Lumpur.

Pegawai yang menyiasat lelaki berkenaan mendakwa menemui 10 bungkusan yang dibalut dengan pita pelekat.

“Bungkusan itu menjalani ujian awal dan menunjukkan tanda ia adalah heroin,” katanya.

Sementara itu, seorang saksi memberitahu The Herald Sun bahawa lelaki itu kelihatan seperti tahu bahawa ‘sesuatu akan berlaku’ sebelum dia ditangkap.

“Dia pergi ke arah beg, tetapi meninggalkannya di kerusi selama beberapa minit.

“Mereka menunggu sehingga dia mengambil beg itu sebelum menangkapnya,” kata saksi itu.

Suspek didakwa memiliki dan menyeludup dadah kawalan sempadan iaitu heroin dan akan hadir di mahkamah pada 6 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Jun 2018 @ 11:57 AM