Maahad Tahfiz Wattarbiyyatul Islamiyah Kampung Tengah Titi Teduri, terbakar kali kedua, semalam.
Safuri Kamarudin
cnews@nstp.com.my

Baling: Maahad Tahfiz Wattarbiyyatul Islamiyah, Kampung Tengah, Titi Teduri, Mukim Pulai, di sini, terbakar kali kedua dalam tempoh tidak sampai setahun.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi semalam, bangunan tiga tingkat yang menempatkan pejabat, asrama dan stor terbakar dipercayai akibat litar pintas.

Bagaimanapun, ketika kejadian, tiada penghuni berada di asrama kerana kebanyakan pelajar pulang ke rumah berikutan cuti hujung minggu.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Baling, Suib Abd Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 9.33 pagi dan tiba di lokasi 10 minit kemudian.

Katanya, anggota bomba mengambil masa 15 minit bagi mengawal api daripada merebak sebelum kebakaran dipadamkan dalam tempoh satu jam.

“Api dipercayai berpunca dari ruang balkoni tingkat tiga bangunan sebelum merebak ke keseluruhan tingkat menempatkan stor.

“Ini kebakaran kali kedua pusat tahfiz ini selepas kejadian sama berlaku Ogos tahun lalu,” katanya ketika dihubungi.

Suib berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kebakaran berpunca daripada litar pintas, namun siasatan masih dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Jun 2018 @ 5:57 AM