ANGGOTA polis trafik melakukan pemeriksaan terhadap penunggang motosikal di pekarangan SMK Seri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur.
Nurul Hidayah Bahaudin
cnews@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Sibuk bekerja menyebabkan seorang lelaki berusia 50 tahun enggan mendapatkan lesen memandu.

Malah, dia turut memaklumkan sudah beberapa kali dikenakan saman atas kesalahan tidak memiliki lesen ketika ditahan pihak berkuasa.

Itu alasan diberikan lelaki terbabit ketika ditahan dalam Operasi Didik (Op Didik) dijalankan di pekarangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Permaisuri, Cheras di sini, kelmarin.

Dalam operasi itu, anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur mengeluarkan 34 saman terhadap ibu bapa, ahli keluarga pelajar serta pemandu bas dan van sekolah selepas melakukan pemeriksaan terhadap lebih 150 kenderaan bermula jam 1.45 tengah hari.

Ketua JSPT Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, operasi itu dijalankan untuk melakukan pemeriksaan terhadap ibu bapa, ahli keluarga dan pemandu van serta bas selain pelajar.


RAMAI didapati menunggang tanpa memakai topi keledar.

“Dalam operasi ini, kami mengesan pelbagai kesalahan dilakukan pihak berkenaan termasuk tidak memiliki lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh serta tidak mengetatkan tali topi keledar.

“Malah, ada sebuah motosikal yang diperiksa didapati tamat tempoh cukai jalan sejak 18 tahun lalu dan tidak memperbaharuinya sehingga kini,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Zulkefly berkata, pelajar yang didapati melakukan kesalahan undang-undang jalan raya tidak dikenakan tindakan saman.

“Golongan pelajar diberi amaran supaya tidak melakukan kesalahan sama selepas ini. Selain itu, mereka juga diberi pendedahan mengenai keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.


ANTARA pelajar sekolah yang diperiksa dalam gerakan, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Jun 2018 @ 5:42 AM