REPLIKA model UiTMSAT-1 pada pelancaran satelit pertama UiTM UiTMSAT-1 di Fakulti Kejuruteraan Elektrik UiTM Shah Alam, hari ini. FOTO Faiz Anuar
Ruwaida Md Zain
cnews@nstp.com.my


UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM), hari ini melakar sejarah apabila menjadi universiti pertama negara melancarkan UiTMSAT-1, nano-satelit pertama ke angkasa.

Nano-satelit kelahiran UiTM itu hasil kerjasama BIRDS-2 (Joint Global Multi-Nation) dengan Bhutan dan Filipina yang diterajui Kyushu Institute of Technology (KyuTech), Jepun.

Dua pelajar pasca siswazah UiTM mewakili Malaysia antara 10 pelajar bertanggungjawab dalam merealisasikan pembinaan dan pelancaran tiga nano-satelit BIRDS 2: UITMSAT-1, manakala pelajar dari Bhutan dan Filipina masing-masing menghasilkan BHUTAN-1 dan MAYA-1.

Naib Canselor UiTM Profesor Emeritus Datuk Dr Hassan Said berkata, pihaknya berbangga dengan kejayaan pelancaran UiTMSAT-1 di Stesen Tentera Udara Cape Canaveral, Florida, Amerika Syarikat menerusi roket SpaceX Falcon 9, pada jam 5.46 petang hari ini.

“Alhamdulillah, sudah dilancarkan. Kita menunggu pertengahan Ogos ini apabila UiTMSAT-1 akan dibawa Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) dan dijadualkan dilepaskan ke orbit pada jarak 400 kilometer dari permukaan bumi.

“Terima kasih kepada pasukan yang membangunkannya, terutama dua pelajar kita di sana serta semua pihak terbabit dalam penghasilan satelit nano ini. Saya amat kagum dengan pencapaian ini.

“Pelancaran UiTMSAT-1 ini menandakan permulaan kepada UiTM untuk lebih serius dalam pembangunan teknologi angkasa lepas, sekali gus membuktikan kemampuan warga kita dalam bidang ini,” katanya.

Terdahulu, beliau menyaksikan lintas langsung pelancaran roket SpaceX Falcon 9 yang membawa satelit nano itu.

Pada majlis itu juga, dua pelajar dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Syazana Basyirah Mohammad Zaki dan Muhammad Hasif Azami turut serta pada sidang media secara langsung dari Jepun.

Turut hadir, Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik UiTM Prof Dr Mohd Nasir Taib, Timbalan Naib Canselor Akademik UiTM Prof Dr Mohamad Kamal Harun serta Pengarah Pusat Komunikasi Satelit UiTM Prof Dr Mohamad Huzaimy Jusoh.


HASSAN (kanan) mendengar penerangan model UiTMSAT-1 daripada Mohamad Huzaimy (dua kanan) sambil diperhatikan Mohd Nasir (dua kiri) dan Mohamad Kamal. FOTO Faiz Anuar

Sementara itu, Mohamad Huzaimy berkata, UiTMSAT-1 akan mengorbit bumi dengan kelajuan lebih 23,000 kilometer dan melintasi ruang angkasa Malaysia lima kali sehari.

“Satelit ini mempunyai enam misi, antaranya pengambilan imej, menguji korelasi lokasi satelit, ujian cip Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS), mengukur medan magnetik di angkasa untuk data pemetaan geomagnetik di rantau Asia Tenggara serta komunikasi radio.

“Data yang diperoleh daripada satelit ini akan disalurkan ke Pusat Satelit Komunikasi UiTM untuk tujuan penyelidikan,” katanya.

Katanya, projek terbabit bermula dengan perancangan misi satelit pada Disember 2016, kemudian mereka bentuk dan membina model satelit, menguji, memasang, sebagai persediaan pelancaran dan menggerakkan satelit, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Jun 2018 @ 11:16 PM