Suhaila Shahrul Annuar
mhusni@nstp.com.my


PENGARAH syarikat direman lima hari bagi membantu siasatan berkaitan projek membekal dan memasang panel tenaga solar kepada 369 buah sekolah di Sarawak membabitkan kos RM1.25 bilion.

Perintah reman bermula hari ini hingga 3 Julai ini dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Suspek berusia 39 tahun itu ditahan semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, jam 7.45 malam selepas hadir untuk memberi keterangan.

Suspek adalah individu ketiga ditahan reman setakat ini bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

Kelmarin, dua suspek termasuk seorang pengarah syarikat ditahan reman selama enam hari hingga Isnin ini bagi membantu siasatan berhubung kes sama.

Kementerian Pendidikan sebelum ini memulakan siasatan dalaman berhubung projek membekal panel tenaga solar kepada 369 buah sekolah di Sarawak diberikan kepada syarikat berpangkalan di Bintulu, yang didakwa melanggar prosedur.

Berita berkaitan

Dua direman kes tenaga solar Sarawak [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Jun 2018 @ 11:56 AM
SUSPEK dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor