Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
cnews@nstp.com.my

Maran: Seramai 100 peneroka FELDA Wilayah Jengka tidak puas hati terhadap pengurusan syarikat itu yang didakwa gagal melunaskan pembayaran insentif khas berjumlah RM5,000 sejak tahun lalu.

Wakil peneroka, Razali Ithnain, 56, berkata, insentif dijanjikan kepada keluarga FELDA sejak Julai 2017 gagal dipenuhi sepenuhnya, malah ada keluarga yang masih tidak menerima sebarang bayaran.

“Kami (peneroka FELDA) mahukan insentif ini dibayar kepada semua peneroka yang layak.

“Jika semua yang layak patut dapat, maka pembayaran harus dibuat, bukannya bayar kepada sesetengah golongan terpilih sahaja.

“Pihak pengurusan FELDA harus mengambil maklum perkara ini kerana sudah hampir setahun selepas semua syarat kami penuhi,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Jengka di sini, semalam.

Razali berkata, antara syarat ditetapkan dan dipenuhi peneroka adalah menghantar hasil sawit ke kilang sekurang-kurangnya 50 peratus sebulan, selain membuat perakuan muafakat bersama FELDA.


Sebahagian peneroka FELDA menunjukkan laporan polis berkaitan dakwaan tidak menerima bayaran insentif khas FELDA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Jun 2018 @ 4:45 AM