KETIBAAN Dr Mahathir dan Siti Hasmah disambut Joko Widodo dan Iriana. FOTO Bernama
Zainudin Isa

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Jakarta, hari ini bagi memulakan lawatan rasmi dua hari ke Indonesia.

Ketibaan Dr Mahathir yang diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di Lapangan Terbang Antarabangsa Halim Perdanakusuma pada 6.05 petang waktu tempatan (7.05 malam waktu Malaysia), disambut sendiri oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi dan isteri, Iriana Widodo.

Turut menyambutnya Menteri Pengiring, Wiranto yang juga Menteri Koordinator Bidang Politik, Hukum dan Keamanan Indonesia; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Ramlan Ibrahim;

Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Zamshari Shaharan dan pegawai kedutaan.

Terdahulu, Zamshari dalam sidang medianya kepada wartawan Malaysia berkata, lawatan Dr Mahathir ke Indonesia ditunggu-tunggu memandangkan Perdana Menteri adalah pemimpin paling kanan yang memainkan peranan penting di rantau ini.

“Lawatan ini amat ditunggu-tunggu oleh pihak Indonesia kerana status Perdana Menteri sebagai sebagai pemimpin paling kanan dalam kalangan pemimpin Asean,” katanya.

Ia adalah lawatan rasmi sulung Dr Mahathir ke negara pertama di Asia Tenggara selepas memegang jawatan Perdana Menteri kali kedua pada 10 Mei lalu.

Dr Mahathir akan mengadakan pertemuan dengan Jokowi di Istana Presiden di Bogor, Jawa Barat pagi esok.

Menjadi kelaziman Jokowi akan menerima kehadiran ketua kerajaan dan pembesar asing di istana penginapannya di Istana Presiden di Bogor, Jawa Barat iaitu kira-kira 60 kilometer jaraknya dari Jakarta sejak beliau menjadi Presiden Indonesia ketujuh.

Dr Mahathir juga akan diberi penghormatan untuk bersama-sama dengan Jokowi menanam pokok Angsana ketika di Istana Presiden di Bogor.

Zamshari berkata, pemilihan pokok Angsana yang dicadangkan oleh pentadbiran Jokowi sangat signifikan terhadap keakraban hubungan Malaysia dan Indonesia.

“Simbolik pemilihan pokok Angsana untuk ditanam oleh Perdana Menteri dan Presiden Joko Widodo ialah pokok berkenaan sangat kuat, kukuh dan boleh bertahan lama sekali gus melambangkan asas yang kuat terhadap hubungan bilateral Malaysia dan Indonesia,” katanya.

Lawatan rasmi Perdana Menteri juga seiring dengan sambutan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Malaysia-Indonesia yang disambut tahun lalu.

“Lawatan ini sudah tentu akan tingkatkan hubungan bilateral dengan Indonesia sebagai rakan strategik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Jun 2018 @ 7:34 PM