PENGARAH JKJR Kedah, Chan Pei Hong menunjukkan topi keledar yang tidak selamat untuk kanak-kanak dan boleh menyebabkan kematian sekiranya berlaku kemalangan. Foto STR/ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli
cnews@nstp.com.my


PENGGUNAAN topi keledar separuh yang menjadi trend dalam kalangan penunggang muda didapati boleh membahayakan penggunanya jika berlaku kemalangan.

Topi keledar yang dikenali sebagai 'kura-kura' itu tidak melindungi sepenuhnya bahagian kepala penunggang atau pembonceng motosikal, selain bahagian dalamnya hanya dilindungi span nipis.

Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Kedah, Chan Pei Hong berkata, topi keledar itu tidak sesuai digunakan di atas jalan raya, namun penunggang remaja gemar menggunakannya kerana menjadi fesyen dan trend semasa.

"Begitu juga dengan topi keledar kura-kura kanak-kanak yang digunakan ramai ibu bapa ketika ini kerana ia ringan berbanding topi keledar biasa.

"Mungkin ibu bapa beranggapan anak mereka sudah memakai topi keledar ketika ditahan pihak berkuasa tanpa memikirkan risiko ketika kemalangan," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Alor Setar, hari ini.

Pihak JKJR Kedah dalam kajiannya sebelum ini mendapati antara punca penunggang motosikal maut di negeri itu adalah akibat parah pada bahagian kepala berikutan penggunaan topi keledar yang tidak sah.

Pei Hong berkata, ibu bapa dan remaja yang menunggang motosikal perlu menitikberatkan aspek keselamatan termasuk menggunakan topi keledar yang mempunyai cop SIRIM.

"Setakat ini, kemalangan maut membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal adalah yang tertinggi di negeri ini berbanding pemandu dan penumpang kenderaan lain.

"Jumlah itu boleh dikurangkan jika penunggang motosikal mengambil langkah dan mengubah sikap supaya mementingkan keselamatan ketika menunggang motosikal," katanya.

Justeru Pei Hong meminta, pengguna jalan raya agar memandu dan menunggang motosikal lebih berhati-hati dan memeriksa kenderaan lebih awal sebelum memulakan perjalanan, berehat jika mengantuk atau letih serta tidak menggunakan telefon bimbit ketika memandu bagi mengelak kematian akibat kemalangan terus meningkat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Jun 2018 @ 11:23 AM