PENDUDUK menunjukkan lalat yang melekat pada pelekat sehingga meresahkan mereka di Kampung Rancangan Tanah Belia (RTB) Satu, Sungai Panjang, Sungai Besar. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin.
Amirul Aiman Hamsuddin
cnews@nstp.com.my


BARU sebulan beroperasi, ladang ayam berdekatan Kampung Rancangan Tanah Belia (RTB) Satu, Sungai Panjang, Sungai Besar, sudah mengundang keresahan penduduk.

Ia berikutan 300 penduduk terpaksa menjalani kehidupan tidak selesa berikutan kehadiran puluhan ribu lalat yang bukan sahaja merimaskan, malah dibimbangi mengancam kesihatan.

Penduduk, Hisam Isrum, 32, mendakwa, masalah berkenaan rumit dan seolah-olah tidak jalan penyelesaian diambil pihak berwajib.

“Perkara ini berlarutan meskipun ada agensi berkaitan datang memantau. Namun, tiada penyelesaian diambil.

“Sehubungan itu, penduduk kampung merayu agar pemilik ladang ayam menghentikan operasi sekiranya masalah ini gagal ditangani sepenuhnya.

“Penduduk buntu nak selesaikan isu ini. Kita tak tahu sampai bila masalah ini akan selesai dan sekiranya berlarutan, kita bimbang kesihatan terjejas,” katanya.

Penduduk, Mohd Nasriq Jalani, 28, berkata, penduduk kampung menjadi mangsa dihurung lalat tanpa mengira waktu.

“Bayangkan, lalat ini menghurung makanan dan minuman disediakan hampir setiap hari sehingga kami menjadi tidak selesa.

“Malah, penduduk hilang selera makan akibat bau meloyakan tekak disebabkan pencemaran bau ini,” katanya.

Beliau berkata, sambutan Aidilfitri tahun ini hambar berikutan bau dari ladang ayam itu memberi kesan kepada tetamu yang bertandang ke rumah.

Menurutnya, rumahnya hanya terletak 160 meter dari ladang itu dan sudah pasti, ia menjadi kawasan dikerumuni lalat.

“Saya difahamkan kawasan lain turut terjejas termasuk sekolah berasrama penuh di sini,” katanya.

Penduduk, Ahmad Afizi Panut, 28, berkata, penduduk terpaksa menanggung kos membeli produk menghapuskan lalat berikutan masalah berkenaan.

“Dalam sehari, saya terpaksa menggunakan 10 pelekat lalat berharga RM5. Bayangkan, kalau sebulan dah berapa pelekat yang terpaksa kami belanjakan?

“Penduduk memohon pihak berwajib mengambil kira semua aspek agar masalah ini ditangani segera,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sungai Besar Muslimin Yahaya turut meluangkan masa selama satu jam mendengar masalah dibangkitkan penduduk setempat.

“Satu jawatankuasa penduduk akan ditubuhkan bagi mengutarakan masalah ini kepada agensi berkaitan.

“Kami akan mengadakan sesi dialog dengan agensi kerajaan berkaitan dalam tempoh terdekat.

“Masalah ini berpunca daripada sikap pengusaha yang tidak berdisiplin dalam menguruskan sistem penternakan mengikut spesifikasi ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, NSTP difahamkan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) akan membuat kenyataan berhubung isu ini dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Jun 2018 @ 10:37 PM