Zulkifli (empat kiri) bergambar bersama ahli-ahli Kelab BMW Motorrad pada sidang media Kembara Kebajikan Ke Bosnia. FOTO Shafina Jemenon
Muhammad Saufi Hassan
Saufi@mediaprima.com.my


SEBANYAK 500 mashaf al-Quran akan diagihkan termasuk sumbangan barang keperluan harian kepada masyarakat Islam yang memerlukan di perkampungan Slavenica, Bosnia.

Itu misi besar 26 peserta Kembara Kebajikan ke Bosnia anjuran Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care Malaysia) menyantuni masyarakat Islam di negara berkenaan yang terkesan akibat peperangan lebih dua dekad lalu.

Presiden Muslim Care Malaysia Zulkifli Wahijan berkata, pihaknya melihat wujud keperluan untuk menyantuni masyarakat Islam yang sangat terkesan dengan peperangan pada 1992 sehingga berlarutan sehingga tiga tahun.

"Kembara ini akan bermula 1 hingga 23 Julai dan kita akan menaiki kapal terbang dari Malaysia ke Frankfurt, Jerman sebelum memulakan misi kembara di negara berkenaan.

"Kita akan merentasi sembilan termasuk negara Balkan dengan 15 buah motosikal berkuasa tinggi sejauh 4,500 kilometer dan fokus kembara kebajikan ini adalah di Bosnia. Kita akan meluangkan masa selama beberapa hari untuk menyantuni masyarakat Islam di negara itu dan melihat kesan peperangan.

"Secara khususnya, kita akan menginap di perkampungan Slavenica, Bosnia dan menyerahkan bantuan termasuk mashaf al-Quran untuk kegunaan saudara Islam kita di sana," katanya kepada Harian Metro ketika ditemui, di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, kembara kebajikan itu bukan sahaja inisiatif Muslim Care Malaysia, malah mendapat kerjasama daripada Kelab BMW Motorrad dan Rasniaga Builders Sdn Bhd.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Wilayah Tengah Kelab BMW Motorrad, Zuhairi Abdullah berkata, kembara terbabit memberikan keunikan tersendiri kerana peserta bukan sahaja mengembara sebaliknya melaksanakan aktiviti kebajikan.

"Sebelum ini, kita pernah mengadakan beberapa kembara namun ia bersifat penjelajahan sahaja membabitkan negara Eropah.

"Bagaimanapun, misi kembara ini sangat unik apabila selain menjelajah kita akan bekerjasama dengan Muslim Care Malaysia untuk melaksanakan aktiviti kebajikan di Bosnia.

"Boleh saya katakan bahawa program kembara tahunan kita sudah memasuki fasa baharu apabila kita mengorak langkah dengan melakukan kebajikan sambil menjekajah ke negara lain," katanya.

Beliau yang juga Pengarah Urusan Rasniaga Builders Sdn Bhd berkata, kembara itu akan disertai oleh 15 buah motosikal berkuasa tinggi dan diharapkan semua perancangan berjalan dengan lancar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Jun 2018 @ 7:25 PM