PENGARAH Briged Ekuin Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Leftenan Kolonel Bersukutu (PA) Wan Mohd Hafizam Wan Ismail. Foto STR/AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Ahmad Rabiul Zulkifli
cnews@nstp.com.my


“KUDA bukan seperti ayam, ia perlu penjagaan rapi dan kaedah tertentu untuk memeliharanya supaya tidak berlaku penganiayaan kepada haiwan itu," kata Pengarah Briged Ekuin Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Leftenan Kolonel Bersukutu (PA) Wan Mohd Hafizam Wan Ismail ketika ditemui, baru-baru ini.

Mohd Hafizam berkata, pihaknya menerima pelbagai aduan mengenai salah laku segelintir individu yang memelihara kuda.

"Mereka tidak memenuhi hak-hak kuda seperti tidak memberi makan, minum serta tidak dilatih.

"Rata-rata pemilik kuda membeli haiwan itu untuk menunjukkan kemewahan mereka tetapi tidak mempunyai ilmu menjaganya.

"Sehubungan dengan itu, menjadi tanggungjawab kami untuk membendung gejala berkenaan dan turun padang untuk memberi nasihat," katanya.

Tambahnya, dia dan anggotanya akan mendekati pemilik kuda yang bermasalah dan menyelidik punca perkara itu berlaku sebelum menghulurkan bantuan yang sepatutnya.

"Biasanya masalah itu berlaku kerana pemilik tidak mempunyai ilmu justeru tugas kami memberi ilmu kepada mereka.

"Sehingga kini, pelbagai masalah yang berkaitan dengan kuda diselesaikan malah pasukan kami sentiasa sedia membantu," katanya.

Menurutnya, antara lain yang membawa kepada penubuhan pasukan Briged Ekuin APM itu ialah membantu pemilik kuda mengalihkan kuda-kuda mereka dari kawasan bencana ke kawasan selamat.

"Operasi menyelamat kuda tidak seperti usaha menyelamat haiwan ternakan lain yang mungkin lebih mudah.

"Justeru, pasukan kami memiliki kemahiran khas bagi menjalani operasi menyelamat kuda, biar apa pun halangan yang perlu dihadapi, kami bersedia," katanya.

Briged Ekuin APM akan menganjurkan Kursus Berkuda di Universiti Kolej Bestari (UCB) pada Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Jun 2018 @ 3:21 PM