INDIVIDU dipercayai penagih dadah ditahan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Manjung di beberapa lokasi sekitar daerah Manjung. Gambar kecil, peralatan dipercayai digunakan untuk menghisap dadah disorokkan di dalam kopiah. Foto NSTP/IHSAN AADK
Noor Hidayah Tanzizi
cnews@nstp.com.my


LELAKI bertindak menyorokkan peralatan menghisap dadah di dalam kopiah dipakainya dan memberi alasan mahu ke masjid bagi mengaburi penguat kuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Manjung dalam serbuan di rumah di Lekir, Sitiawan, semalam.

Bagaimanapun, taktik lelaki berusia 28 tahun itu untuk melepaskan diri daripada ditahan berjaya dikesan anggota penguat kuasa.

Pegawai AADK Manjung, Sharudin Abdul Salam berkata, lelaki terbabit ditahan pada 2 petang dan dipercayai sudah dua tahun terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine atau syabu.

"Lelaki berkenaan bekerja kampung dan memberikan alasan mahu menunaikan solat Zuhur di masjid bagi mengelakkan dia daripada ditahan.

"Pemeriksaan mendapati dia menyimpan peralatan seperti gunting kecil dan botol yang sudah diubahsuai bagi dijadikan `dapur' untuk menghisap dadah, di dalam kopiah yang dipakainya," katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.

Menurutnya, selain lelaki terbabit, pihaknya turut menahan tujuh individu lain berusia antara 18 hingga 37 tahun disyaki penagih dadah di lapan lokasi berbeza di Lekir, Sitiawan dan Pantai Remis.

"Semua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (APD) 1983 untuk tindakan lanjut," katanya.

Katanya, operasi itu membabitkan tujuh anggota yang bermula 8 pagi sebelum berakhir lapan jam kemudian hasil maklumat awam dan risikan pihaknya.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan maklumat awam bagi membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah di daerah itu untuk kesejahteraan masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Jun 2018 @ 12:35 PM