ZULFADEME dituduh melakukan rompakan berkumpulan menggunakan parang pada Disember 2014.
Zatul Iffah Zolkiply
cnews@nstp.com.my

Kuala Terengganu: Seorang lelaki yang menyangka terselamat selepas bersembunyi hampir tiga tahun atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan menggunakan parang membabitkan kerugian RM11,000 sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam dengan kesalahan sama.

Tertuduh, Zulfademe Zalian@Zailan, 32, dari Dungun yang sebelum ini didakwa di Mahkamah Sesyen pada 2015 gagal hadir ke mahkamah sebaik dibebaskan dengan ikat jamin.

Tindakan tertuduh menyebabkan kes berkenaan tertangguh sebelum mahkamah membuat keputusan melepaskan tanpa membebaskan tertuduh daripada pertuduhan berkenaan.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama-sama seorang yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan iaitu wang tunai sebanyak RM11,000 milik Adnan Mohd Ariffin, 49, dengan menggunakan sebilah parang.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Lorong Satu, Kampung Padang Jambu, Dungun, jam 2 pagi pada 11 Disember 2014.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 10 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk lantikan peguam.

Tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada tertuduh memandangkan tertuduh sebelum ini gagal memberikan kerjasama apabila melarikan diri selepas diikat jamin.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Zulfazliah Mahmud.

manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Jun 2018 @ 3:57 AM