ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat Kamalanathan yang tersepit selepas kereta dipandunya terbabas dan merempuh pokok di Kilometer 70.4 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara dekat Kluang, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Mohamed Farid Noh
farid_noh@nstp.com.my


LELAKI maut selepas kereta dipandunya terbabas dan merempuh pokok di Kilometer 70.4 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara dekat Kluang, hari ini.

Dalam kejadian 9.30 pagi itu, B Kamalanathan, 27, dari Taman Selatan, Yong Peng, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham, berkata ketika kejadian mangsa memandu bersama abang dan adiknya dari arah Johor Bahru menghala ke Yong Peng.

Bagaimanapun. katanya, abang dan adik mangsa yang berusia 28 dan 21 tahun tidak cedera.

“Hasil siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila kereta dipandu mangsa bersama abang dan adiknya, tiba-tiba terbabas dan mengelungsur ke cerun di bahu jalan sebelum merempuh pokok berikutan cuaca hujan dan jalan licin.

“Mangsa maut di lokasi kejadian manakala abang dan adik mangsa tidak cedera.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom Kluang untuk dibedah siasat,” katanya dalam kenyataan di Kluang, hari ini.

Mohamad berkata, polis masih menyiasat kemalangan itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Jun 2018 @ 9:26 PM