DADAH pelbagai jenis seberat 107.2 gram bernilai RM4,545 bersama wang tunai RM1,000 dirampas susulan penahanan seorang lelaki berusia 30-an di rumahnya di Jeneri,Sik. Foto NSTP/IHSAN PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@nstp.com.my


TINDAKAN seorang lelaki mencari wang mudah dengan mengedar dadah mengundang padah apabila dia ditahan dalam Ops Tapis di rumahnya di Jeneri, Sik, hari ini.

Suspek yang tidak bekerja berusia 30-an ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik pada 1.05 pagi.

Ketua Polis Daerah Sik Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, suspek ditahan di hadapan rumahnya dan pemeriksaan pada badan menemui satu peket plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu seberat 12.6 gram bernilai RM1,800 dalam poket seluarnya.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemui sebuah beg mengandungi dua peket plastik lutsinar disyaki dadah jenis heroin seberat 93.3 gram bernilai RM2,790 dan sepeket dadah disyaki ganja seberat 1.3 gram bernilai RM45.

“Semua dadah bernilai RM4,545 bersama wang tunai RM1,000 dirampas dan suspek kemudian dibawa ke IPD Sik untuk tindakan lanjut.

“Suspek yang belum berkahwin turut mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah, ugutan dan samun,” katanya.

Katanya, suspek direman seminggu bermula hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Jun 2018 @ 6:12 PM