SUEE Lim mengangkat sumpah sebagai Speaker DUN Selangor. FOTO Roslin Mat Tahir
Khairul Azran Hussin
khaiazr@bh.com.my


AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi Penggal Pertama Mesyuarat DUN ke-14.

Nama wakil rakyat DAP itu dicadangkan oleh Menteri Besar yang juga ADUN Sungai Tua, Amirudin Shari serta disokong ADUN Bandar Baru Klang, Datuk Teng Chang Khim.

Ng kemudian mencadangkan ADUN Paya Jaras dari PKR, Khairuddin Othman sebagai Timbalan Speaker serta disokong oleh ADUN Kota Kemuning, V Gananatirau.

Terdahulu, seramai 55 ADUN termasuk empat wakil rakyat Barisan Nasional (BN) serta seorang wakil rakyat PAS mengangkat sumpah sebagai ADUN.

ADUN Sungai Kandis, Mat Shuhaimi Shafie bagaimanapun tidak hadir kerana faktor kesihatan.

Majlis angkat sumpah dimulakan Amirudin diikuti 10 EXCO Kerajaan Selangor iaitu Chang Kim; Ganabatirau; Rodziah Ismail (Batu Tiga); Dr Siti Mariah Mahmud (Seri Serdang), Izham Hashim (Pandan Indah) dan Haniza Mohd Talha (Lembah Jaya).

Ia diikuti Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Klang) Ng Sze Han (Kinrara), Dr Shaharuddin Badaruddin (Seri Setia) dan Hee Loy Sian (Kajang).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Jun 2018 @ 11:29 AM