WARGA tempatan yang diselamatkan APMM selepas bot pancing dinaiki mereka bocor kira-kira 5.1 batu nautika barat laut One Fathom Bank.
Iskandar Shah Mohamed
news@nstp.com.my

Pelabuhan Klang: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyelamatkan sembilan warga tempatan yang terkandas selepas bot pancing dinaiki mereka bocor kira-kira 5.1 batu nautika barat laut One Fathom Bank, dekat sini.

Dalam kejadian jam 12.25 tengah malam kelmarin, bot dinaiki semua lelaki berusia 26 hingga 45 tahun berkenaan dikatakan mengalami kebocoran pada tangki minyak.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abu Zaki Mohammad berkata, pihaknya menggerakkan sebuah aset kapal ronda sebaik menerima aduan daripada Jabatan Laut Pelabuhan Klang.

“Berdasarkan maklumat diperoleh daripada pemancing di atas bot itu, mereka terkandas berikutan kebocoran di tangki minyak.

“Kami kemudian memulakan usaha pencarian dan menemui bot pancing itu pada jam 5.53 pagi sebelum menunda ke Jeti Star Cruise Pulau Indah,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati tekong bot itu bagaimanapun gagal mengemukakan lesen pendaftaran bot dan insurans berkaitan.

“Berikutan itu, bot itu ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk tindakan lanjut.

“Kes itu disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” katanya.

Kata Abu Zaki, semua lelaki termasuk tujuh pemancing itu berada dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan dan turut memiliki dokumen pengenalan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Jun 2018 @ 3:12 AM