GAMBAR hiasan
Sarah Zulkifli
sarah@nstp.com.my


“HARUS diingat, anak ini adalah anugerah Allah, jangan kerana dia kanak-kanak, kamu perlakukan dia sebegitu rupa dan satu badan penuh birat dengan luka,” kata Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Hilmiah Yusof.

Beliau berkata demikian ketika menjatuhkan hukuman denda RM5,000 masing-masing kepada bapa tiri, 33 dan ibu kandung kanak-kanak itu, 27.

Mahkamah turut memerintahkan pasangan itu dipenjara sebulan lagi sekiranya gagal membayar denda.

Hilmiah turut menasihatkan pasangan itu supaya mengawal kemarahan dan mendidik anak mereka dengan lebih berhemah.

“Saya faham kamu berdua melakukan perbuatan itu (merotan )untuk mendidik kerana anak mencuri wang, namun kesan kecederaan yang dialami oleh kanak-kanak itu menunjukkan seolah-olah kamu ingin melepaskan geram dan kemarahan,” katanya.

Mengikut pertuduhan, bapa tiri kanak-kanak itu dan isterinya didakwa menganiaya anak lelaki mereka yang berusia 10 tahun ketika kejadian menggunakan rotan pada bahagian kaki dan dan tangan kanak-kanak itu di rumah mereka di sebuah rumah di Damansara Perdana, 5.30 petang, pada 7 Mac lalu.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 31(1) (a)Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim memohon hukuman yang setimpal dikenakan dengan mengambil kira kecederaan dialami mangsa.

Bagaimanapun, suami isteri itu yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan mereka insaf dan mempunyai tanggungan anak yang lain.

Mengikut fakta kes, penganjur sebuah kem yang disertai kanak-kanak lelaki itu mendapati terdapat kecederaan di kedua-dua belah tangan, kaki dan mempunyai kecederaan lama di bahagian belakang badan mangsa.

Ketika ditanya, mangsa menjawab dia dipukul oleh ayah tirinya ketika berada di rumah mereka sebelum satu laporan polis dibuat oleh penganjur kem itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Jun 2018 @ 2:49 PM