ANGGOTA bomba melakukan operasi pemadaman di rumah berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
Faris Fuad
faris.fuad@nstp.com.my


LELAKI warga emas ditemui rentung selepas rumahnya terbakar di Kampung Sungai Tengar, Sabak Bernam, hari ini.

Pada kejadian jam 7.46 pagi itu, mangsa berusia 70-an ditemui oleh anggota bomba di ruang tamu rumah berkenaan.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Alimaddia Bukri berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan, dua jentera dengan kekuatan 12 anggota dikejarkan ke lokasi.

Beliau berkata, sebaik tiba, bomba segera melakukan operasi pemadaman.

“Rumah mangsa terbakar 100 peratus, bagaimanapun, kita berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan lain.

“Kita kemudian menemui mangsa yang rentung di dalam rumah yang terbakar itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Jun 2018 @ 9:22 AM