Mohd Nizar berucap selepas diumum menang tanpa bertanding sebagai Ketua Pemuda UMNO Pekan yang baharu. FOTO Ihsan UMNO Pekan
Mohamad Azin Fitri Abd Aziz
cnews@nstp.com.my

ANAK kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak iaitu Datuk Mohd Nizar Najib dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO Pekan yang baharu selepas diumumkan menang tanpa bertanding.

Mohd Nizar,40, menggantikan Datuk Shahruddin Ahmad yang memegang jawatan itu penggal lalu selepas Shahruddin tidak bertanding pada pemilihan kali ini apabila sudah melepasi syarat kelayakan umur bagi pertandingan jawatan ketua pemuda.

Dalam ucapannya, Mohd Nizar menzahirkan rasa syukur kerana terpilih memegang jawatan itu dan berazam membawa UMNO ke martabat yang sepatutnya.

“Saya merasakan sokongan dan semangat pemimpin UMNO masih kuat dan tidak terhenti, mereka memberikan komitmen yang cukup baik untuk membuktikan UMNO masih relevan.

“Kini apa yang perlu kita lakukan ialah membuang sikap angkuh, politik wang serta segala unsur negatif untuk kembali memenangi hati golongan muda,” katanya ketika berucap pada Majlis Persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pekan di Dewan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, di Pekan, hari ini.

Pada majlis itu, seramai kira-kira 500 ahli yang hadir bagi membuang undi untuk memilih perwakilan UMNO yang baharu.

Beliau turut meminta ahli UMNO dan pergerakan Pemuda bahagian itu khususnya untuk bersatu dan bekerjasama mendengar suara hati anak muda dan cuba untuk mengikutinya.

“Apabila kita kalah ia sesuatu yang kita tidak mahukan tetapi mungkin baik bagi kita...jadi sekarang kita perlu menjadi pembangkang yang berwibawa,” katanya.

Beliau berkata, UMNO perlu menjadi pembangkang yang berwibawa yang mampu membawa masalah rakyat di Parlimen.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Jun 2018 @ 6:39 PM