KAPAL Selam Scorpene pada 2015. FOTO arkib NSTP
Irwan Shafrizan Ismail
irwansha@nstp.com.my


BADAN Kehakiman Perancis kini sedang melakukan siasatan terhadap pembelian kapal selam Scorpene bernilai RM4.67 bilion.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, perkara itu dimaklumkan Duta Perancis ke Malaysia, Frederic Laplanche ketika kunjungan hormatnya ke Kementerian Kewangan di Putrajaya, hari ini.

"Beliau (Frederic) juga memberi sokongan penuh terhadap usaha Kerajaan Malaysia yang baharu dalam mempromosikan ketelusan dan pendedahan skandal kewangan di mana kebenaran serta keadilan harus menjadi tunjang utama.

"Perbincangan menarik dengan Duta Perancis mengenai kepentingan bersama yang dapat memupuk hubungan rapat antara rakyat kedua-dua belah negara

“Beliau juga mendedahkan berita bahawa pihak Kehakiman Perancis sedang menyusuli rasuah dalam kes kapal selam Scorpene yang bernilai 1 bilion Euro,” katanya dalam kenyataan yang dimuatnaik di laman Facebook Kementerian Kewangan, hari ini.

Tambah Guan Eng, siasatan itu bagaimanapun tidak membabitkan kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu kerana ia di luar bidang kuasa Perancis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Jun 2018 @ 7:07 PM