Tuty Haryanti Ahmad Rodzi
tuty@nstp.com.my


MAHKAMAH Majistret Seremban hari ini menjatuhkan hukuman penjara dua bulan dan denda RM1,500 terhadap penuntut universiti swasta kerana mencuri cermin mata di Senawang, minggu lalu.

Mohd Shahid Zahidi, 26, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret V Vanita.

Tertuduh bersama dua individu lagi yang masih bebas, didakwa mencuri tiga cermin mata berjenama di kedai cermin mata di pasar raya di Senawang, 15 Jun lalu pada 9.10 malam.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan denda.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Soo Kok Weng manakala tertuduh diwakili peguam S Kartikeyan.

Terdahulu Kartikeyan memohon supaya tertuduh dikenakan hukuman paling minimum atas kesalahan yang pertama kali dilakukan selain perlu menghadiri majlis graduasi pada bulan hadapan.

Bagaimanapun Kok Weng memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran atas perbuatan yang dilakukan.

Mengikut fakta kes, ketika pengadu sedang bekerja di kedai cermin mata, tiga lelaki datang untuk melihat cermin mata dan bertanyakan pelbagai soalan kepada pengadu.

Pada masa sama, seorang daripada mereka mengambil tiga cermin mata berjenama tanpa disedari pengadu dan beredar meninggalkan kedai.

Pengadu yang berasa curiga terus membuat pemeriksaan dan mendapati cermin mata tiada di tempat simpanan lalu mengejar mereka sehingga ke pintu pasar raya dan sempat melihat nombor pendaftaran kenderaan dinaiki mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Jun 2018 @ 11:13 PM
TERTUDUH (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Seremban selepas dijatuhi hukuman. FOTO Iqmal Haqim Rosman