CHONG (tengah) menunjukkan barang rampasan daripada empat suspek kes pecah rumah termasuk barangan keperluan memasak pada sidang media di IPD Manjung, hari ini. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi
cnews@nstp.com.my


EMPAT penyamun termasuk dua wanita dipercayai terbabit dalam kegiatan pecah masuk rumah yang menyasarkan barangan elektrik dan bahan keperluan memasak diberkas dalam serbuan di Apartmen Bukit Permata, Lumut, Manjung, semalam.

Dalam serbuan 3.50 petang itu, empat suspek berusia 24 hingga 36 tahun terbabit ditahan selepas anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung mengesan seorang daripada mereka dalam keadaan mencurigakan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung Deputi Superintendan Chong Bhoo Khim berkata, penahanan lelaki berusia 24 tahun yang dilihat menggalas beg dalam keadaan mencurigakan membawa kepada penemuan pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk memecah rumah.

Beliau berkata, susulan tangkapan itu membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki dan dua wanita yang turut berada di dalam rumah berkenaan.

“Hasil soal siasat suspek mengaku menggunakan peralatan berkenaan untuk memecah rumah di Bukit Permata, Lumut serta beberapa kes pecah rumah lain di sekitar kawasan Lumut.

“Kami percaya rumah berkenaan turut dijadikan tempat penyimpanan barangan curi sebelum ia dijual.

“Siasatan masih dijalankan dan polis sedang mengenalpasti sama ada terdapat ahli lain kumpulan itu,” katanya pada sidang media, hari ini.

Chong berkata, pihaknya turut merampas beberapa barangan antaranya periuk nasi elektrik, televisyen, kipas siling, geran motosikal, lima telefon bimbit, kasut dan barangan makanan seperti minyak masak dan makanan dalam tin.

Beliau berkata, berdasarkan barang rampasan itu, pihaknya percaya mereka mungkin terdesak dan mencuri apa sahaja, buktinya bahan makanan turut dicuri.

“Kumpulan ini dipercayai aktif menjalankan kegiatan pecah rumah sejak lima bulan lalu, manakala ujian awal air kencing mendapati tiga daripada individu terbabit positif syabu.

“Dua suspek wanita terbabit mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan seorang lelaki membabitkan Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek ditahan reman empat hari bermula hari ini sehingga Ahad untuk siasatan lanjut kes mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, dengan penahanan kumpulan suspek terbabit, polis percaya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya enam kes pecah rumah di sekitar Lumut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Jun 2018 @ 6:26 PM