Nor Azura Abdul Jalil
zura_jalil@nstp.com.my


GURU mengaji dihukum penjara tiga bulan dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas didapati bersalah mencabul anak murid perempuannya, tahun lalu.

Majistret Zuhair Rosli menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Redzuan Zakarian, 33, selepas mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan.

Tertuduh turut berdepan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan peguam Zulhazmi Sharif yang mewakili tertuduh untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sahaja hingga rayuan selesai di Mahkamah Tinggi.

Tertuduh masih perlu membayar denda hari ini.

Sehubungan itu, mahkamah menaikkan jaminan daripada RM4,000 kepada RM8,000 dengan seorang penjamin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencabul mangsa yang ketika kejadian berusia lima tahun 11 bulan di rumah di Sungai Besi di sini, antara 8 malam dan 9 malam, 9 Februari tahun lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Najwa Bistamam memanggil enam saksi manakala pembelaan memanggil empat saksi memberi keterangan pada perbicaraan bermula Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Jun 2018 @ 2:57 PM