NUR Afifah Elias (kiri) dan Arinah Safwah Jailan (dua dari kiri) ketika diumumkan sebagai Johan Pertandingan Debat Bahasa Mandarin Pelajar Antarabangsa di Beijing, China.
Siti Nur Mas Erah Amran
cnews@nstp.com.my


DUA penuntut Malaysia yang mewakili pasukan debat Universiti Pengajian Antarabangsa Beijing (BFSU) muncul johan dalam Pertandingan Debat Bahasa Mandarin Pelajar Antarabangsa di China.

Education Malaysia Beijing (EMB) dalam kenyataannya berkata, Nur Afifah Elias dan Arina Safwah Jailan berjaya mempamerkan aksi debat yang cemerlang dan melayakkan diri ke peringkat akhir mewakili daerah Hebei selepas mengharungi lima pusingan dalam tempoh tiga bulan.

“Tajuk ‘Penularan di Media Sosial: Barah atau Penawar?’ membuktikan kesungguhan kedua-duanya berjaya menguasai Bahasa Mandarin dengan cemerlang.

“Pasukan debat BFSU dinobatkan sebagai johan, sekaligus berjaya mencipta sejarah baru dalam rekod penyertaan kali ini,” katanya.

Pertandingan terbabit berlangsung dari 15 April sehingga 15 Jun lalu menyaksikan pasukan debat terdiri daripada wakil 16 universiti terkemuka di daerah Beijing yang datang dari pelbagai negara antaranya Malaysia, Jepun, Sweden dan Australia.

Mengulas lanjut, EMB berbangga dengan prestasi dan pencapaian yang ditunjukkan penuntut Malaysia.

“Ini menunjukkan kualiti dan potensi yang ada pada pelajar Malaysia setanding dengan negara-negara membangun lain.

“Semoga lebih ramai lagi penuntut Malaysia dapat mencipta kejayaan di negara tembok besar ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Jun 2018 @ 1:36 PM