BOT nelayan Vietnam yang ditahan Maritim Malaysia Kudat di perairan Kudat, semalam. FOTO ihsan Maritim Malaysia.
Suzianah Jiffar
suzianah@nstp.com.my


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kudat menahan 16 kru termasuk dua nakhoda susulan penahanan dua bot nelayan asing Vietnam dalam Operasi Pagar Laut di perairan Kudat, petang semalam.

Semua 16 kru bot nelayan Vietnam berusia antara 20 hingga 40 tahun itu ditahan di atas bot berkenaan pada 2.30 petang.

Ketua Zon Maritim Kudat, Leftenan Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, kedua-dua bot itu ditahan ketika melarikan diri ke sempadan perairan negara selepas menyedari kehadiran Kapal Peronda Maritim di perairan Pulau Balambangan, Kudat.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati dua nakhoda dan 14 awak-awak warga Vietnam tiada pengenalan diri berumur 20 hingga 40 tahun berada di atas kedua-dua bot itu.

“Kami menahan kedua-dua bot itu kerana menceroboh perairan negara dan menangkap ikan tanpa kebenaran sah daripada Pengarah Perikanan Malaysia.

“Kedua-dua bot dan 16 kru bot itu serta empat tan hasil ikan pelbagai jenis termasuk ikan tuna yang turut dirampas, dibawa ke jeti awam Kudat untuk tindakan lanjut.

“Beberapa peralatan menangkap ikan turut dirampas dan nilai keseluruhan rampasan termasuk dua bot dan ikan dianggarkan RM1 juta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985, Seksyen 15 (1)(a) kerana melakukan kesalahan menangkap ikan tanpa kebenaran dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Terdahulu, Pengarah Maritim Sabah dan Labuan, Laksamana Muda (M) Datuk Mohd Zubil Mat Som, berkata Maritim Malaysia akan meneruskan operasi mengesan dan menahan bot nelayan asing yang menceroboh perairan perikanan Malaysia termasuk di dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi serta akan menyiasat mana-mana pihak atau sindiket terbabit membawa masuk nelayan asing menceroboh dan mengaut hasil laut tanpa kebenaran kerana ia akan merugikan hasil negara.

“Bagaimanapun, sehingga kini situasi pencerobohan bot nelayan asing dalam keadaan terkawal,” katanya.

Berdasarkan rekod tangkapan Maritim Malaysia, sepanjang tempoh bermula 2013 sehingga Jun 2018, sebanyak 25 kes tangkapan bot nelayan asing Vietnam dicatatkan di perairan Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Jun 2018 @ 10:25 PM