DADAH jenis pil kuda dan heroin anggaran bernilai RM1,590 dirampas selepas polis berjaya menahan dua lelaki berusia 23 dan 40 tahun disyaki pengedar dalam serbuan berasingan di Kubang Kerian dan Kedai Buloh. FOTO Ihsan PDRM
Rosliza Mohamed
cnews@nstp.com.my


DUA lelaki disyaki pengedar ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam, selepas diberkas bersama pil kuda dan heroin yang dianggarkan bernilai RM1,590.

Suspek berusia 23 dan 40 tahun sebelum itu ditahan dalam serbuan berasingan di Kubang Kerian dan Kedai Buloh, Kota Bharu, kelmarin, antara 1 tengah hari hingga 6.40 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, suspek diberkas anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu dan Unit Rondaan Bermotosikal, Balai Polis Kubang Kerian.

Katanya, serbuan pertama menahan suspek berusia 40 tahun yang ketika itu berada dalam bilik di rumah di Cabang Tiga Kedai Buloh, di sini, kira-kira jam 1 tengah hari.

“Pemeriksaan pada badan tidak menjumpai sebarang barang larangan, namun terdapat beg kecil di atas meja dalam bilik itu yang mengandungi dua botol plastik cerah berisi serbuk putih disyaki heroin seberat 8.4 gram dianggarkan bernilai RM840.

“Suspek bersama barang kes dibawa ke balai polis untuk siasatan mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, serbuan kedua pula, seorang lelaki berusia 23 tahun ditahan dalam keadaan mencurigakan ketika menunggang motosikal Honda Wave di hadapan pasar raya di Kubang Kerian, 6.40 petang.

Katanya, hasil pemeriksaan terhadap begnya menjumpai satu paket plastik lutsinar berisi 50 biji pil kuda bernilai RM750.

“Dia ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 39A (1) ADB,” katanya yang memberitahu seorang daripada suspek positif dadah jenis morfin.

Dadah jenis pil kuda dan heroin anggaran bernilai RM1,590 dirampas selepas polis berjaya menahan dua lelaki berusia 23 dan 40 tahun disyaki pengedar dalam serbuan berasingan di Kubang Kerian dan Kedai Buloh. NSTP/IHSAN PDRM

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Jun 2018 @ 3:50 PM