DUA cincin yang berjaya ditanggalkan oleh anggota bomba pada jari seorang wanita. FOTO Ihsan Bomba
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
cnews@nstp.com.my


TINDAKAN wanita memakai dua cincin emas pada jari manis tangan kirinya mengundang padah apabila kedua-dua cincin itu gagal ditanggalkan sehingga menyebabkan jarinya membengkak dan terpaksa meminta bantuan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai, di sini, hari ini untuk mengeluarkannya.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai, Pegawai Bomba (PB) Saini Manaf berkata, wanita berusia 45 tahun itu hadir ke balai bomba 8.45 pagi dalam keadaan jari manisnya sudah membengkak.

Menurutnya, mangsa memaklumkan memakai dua cincin pada malam tadi dan kemudian cuba menanggalkannya, namun gagal.

"Pihak kami dimaklumkan dua cincin terbabit dipakai pada jari manis tangan kiri mangsa sejak malam tadi.

"Mangsa kemudian cuba menanggalkan dua cincin terbabit, namun gagal hingga menyebabkan jarinya membengkak,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, bomba mengambil masa kurang 10 minit memotong dan menanggalkan cincin terbabit menggunakan peralatan khas dan operasi tamat pada 8.55 pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Jun 2018 @ 1:39 PM