Zatul Iffah Zolkiply
cnews@nstp.com.my


BEKAS Pengarah Jabatan Perhutanan Terengganu, Datuk Azmi Nordin dijatuhi hukuman penjara 36 bulan dan denda RM30,000 di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini, atas tiga pertuduhan menerima rasuah RM60,000 pada Mac hingga Ogos 2013.

Tertuduh berusia 59 tahun turut berdepan hukuman penjara 18 bulan lagi sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan itu dibuat Hakim Mohammad Haldar Abdul Aziz selepas tertuduh didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana menerima rasuah.

Mengikut pertuduhan pertama, Azmi didakwa menerima RM30,000 daripada seorang kontraktor balak, Yew Keong Fah, 49, di Malayan Banking Berhad cawangan Kuala Terengganu pada 3 Mac 2013.

Bagi pertuduhan kedua, Azmi didakwa menerima suapan daripada individu sama bernilai RM20,000 di Bank Islam Malaysia Berhad cawangan Kuala Terengganu pada 16 Jun 2013, manakala pertuduhan ketiga didakwa menerima suapan RM10,000 daripada individu sama di tempat sama pada 13 Ogos 2013.

Tertuduh didakwa menerima suapan itu untuk memberi kelulusan membalak kepada Syarikat Ciri Bina Machinery & Hardware Sdn Bhd di Kompartmen 36b dan 40a, Hutan Simpan Hulu Terengganu.

Bagi setiap pertuduhan, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM10,000 atau enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohamad Hayyatuddin Muhamad.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Jun 2018 @ 12:31 PM