NOOR Faqih Mohamed Ariffin, 25, didakwa di Mahkamah Majistret atas kesalahan memaki hamun pegawai polis wanita dengan perkataan lucah dan melakukan ugutan jenayah terhadap seorang awam susulan berlaku perselisihan faham akibat kesalahan trafik. FOTO Muhammad Apendy Issahak
Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my


PADAH memaki hamun pegawai polis wanita dengan perkataan lucah, lelaki yang juga penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini.

Lelaki yang berlagak samseng itu turut didakwa melakukan ugutan jenayah di mahkamah sama terhadap seorang awam susulan berlaku perselisihan faham akibat kesalahan trafik.

Tertuduh, Muhammad Noor Faqih Mohamed Ariffin, 25, didakwa menghina pegawai polis Norazlina Azmi dengan perkataan lucah di Pejabat Enkuiri Balai Polis Pusat, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada 6 petang 12 Jun lalu.

Bagi pertuduhan pertama itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 yang sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM500 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Muhammad Noor Faqih yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), M Thangaveloo, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dengan menakutkan Thong Yin Ling pada 4.20 petang di pejabat sama pada 4.20 petang tarikh sama, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Muhammad Noor Faqih diwakili peguam YBGK, G Harbhajan Singh dan turut mengaku tidak bersalah serta minta dibicarakan.

Pertuduhan dilakukan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Zuraidah Mohd Noor di hadapan Majistret Nurul Hafizah Mohammad Pauzi.

Terdahulu, ketika kedua-dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah, tertuduh mendakwa tidak faham dan minta dibacakan pertuduhan sehingga tiga kali sebelum Majistret sendiri bertindak menerangkan kepada tertuduh mengenai pertuduhan yang dihadapinya yang mana tertuduh perlu menyatakan pengakuan salah atau tidak.

Nurul Hafizah kemudian menetapkan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan pertama dan RM3,000 dengan seorang penjamin untuk pertuduhan kedua serta 17 Julai ini untuk sebutan semula kedua-dua kes berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Jun 2018 @ 2:18 PM